Selesai satu hari kerja di school, perkara utama saya buat adalah bergegas merebut bas U3 untuk sampai ke rumah. Saya akan pastikan pada jam 2.40 petang, saya akan keluar dari bilik. Ini adalah untuk memudahkan saya menjemput Sumayyah di sekolah yang keluar pada jam 3.15 petang. Kalau ada perkara yang tidak dielakkan seperti kursus, jumpa supervisor, barulah suami yang akan ambil. Tetapi yang kasihannya, dia perlu mengangkut sekali anak-anak kami yang lagi dua tu.
Sebenarnya tak berebut pun, cumanya saya sahaja yang merasa begitu. Apa taknya, setelah seharian meninggalkan anak-anak bersama suami di rumah, perasaan serba salah tu mesti ada. Oleh kerana itu, saya mesti akan cuba sampai rumah secepat yang mungkin. Tetapi, apa perasaan anda apabila anda buka pintu rumah dan ... Ya Allah, macam kapal karam. Nak pitam pun ada. Rasanya bila keluar rumah tadi, taklah seteruk ini sepahnya. Dan begitulah setiap hari.
Dua minggu pertama saya memang tertekan. Kalau di rumah sendiri, balik dari kerja semuanya dah tersedia. Rumah, anak-anak, minum petang, makan malam, baju dah basuh. Di sini pula, dari memasak, basuh pinggan, basuh kain, kemas rumah, cebuk anak sampai menyiapkan tugasan PhD, semuanya sendiri. Saya pula jenis yang agak kuat berkemas terutama di ruang tamu dan cerewet dengan pakaian. Maknanya saya nak nampak semuanya sempurna terutama pakaian. Kalau basuh baju, saya mesti asingkan pakaian dari segi warna dan jenis material pakaian. Kalau menyidai pakaian, saya akan pastikan semua baju berada di dalam keadaan tidak terbalik dan mesti disidai atau digantung elok. Kalau baju sekolah Sumayyah, saya akan basuh dengan tangan untuk hilangkan kotoran di leher dan lengan. Satu lagi masalah besar, rumah kami di sini semuanya carpet kecuali di dapur dan tandas. Bermakna kerja akan bertambah dengan tugasan vakum pulak. Macam mana saya perlu hadapi semua ni?
Tetapi saya sangat bertuah kerana mempunyai seorang suami yang cool. Dia biarkan saya dengan perasaan yang berkecamuk tanpa berkata apa-apa. Saya ni pula bukan jenis yang suka membebel atau mengamuk. Selalunya saya akan mendiamkan diri (saya selalu menggelarkannya silent strike) apabila ada perkara yang tidak kena terutama bab rumah bersepah. Sehinggalah pada suatu hari, suami memanggil saya setelah anak-anak dah tidur. Mungkin dia takut tengok saya asyik mengamuk dengan anak-anak.
"Apa-apa yang berlaku kita hadapi bersama. Jangan terlalu cerewet dengan benda-benda kecil. Tumpukan pada perkara-perkara yang besar. PhD tu lagi utama. Abang akan membantu apa yang perlu. Insya-Allah."
Bermula dari saat itu, seperti ada kompromi antara kami walaupun tak pernah kami catatkan atau berjanji. Bangun pagi, saya akan sediakan bekal untuk lunch Sumayyah. Selalunya, roti dengan coklat, tuna, butter and sugar atau telur. Kadang-kadang nuggets dengan potato fries. Saya akan sertakan pisang dan air yogurt. Selain itu, saya akan sediakan sarapan dan kadangkala sejenis lauk untuk lunch. Tetapi selalunya suami yang akan masak dalam jam sebelas pagi nanti. Pada masa yang sama, suami akan mandikan ketiga-tiga anak kami dan menyiapkan Sumayyah ke sekolah. Setelah itu, saya akan suapkan anak-anak makan (selalunya nasi) dan suami akan menghantar Sumayyah anak ke sekolah. Sementara itu, saya akan mengemas bilik tidur dan bersiap untuk ke school.
Apabila balik dari school, perkara pertama yang saya buat adalah menarik nafas yang sangat panjang. Seperti menutup sebelah mata melihat rumah yang bersepah, saya akan melayan anak saya yang kecil dulu. Dia yang selalu menyambut saya di pintu rumah dan tidak akan lepas dari saya sekurang-kurangnya setengah jam. Abbas pula akan leka dengan cerita kartun tanpa henti dari pagi dan suami pula bersama blognya.
Di sebelah malam, saya mengajak anak-anak untuk mengemas mainan mereka sambil saya mengemas dapur. Walaupun suami rajin membantu membasuh pinggan, tapi rasanya final touch dari tangan perempuan adalah wajib. Kemudian saya memilih pakaian untuk dibasuh dan akan menyidai overnight. Untuk pakaian, saya terpaksa akui bahawa tahap kecerewetan itu masih tinggi. Tetapi saya rasa berbaloi kerana tekanan telah menurun oleh sebab tugasan yang telah dibahagi sama rata. Untuk vakum, selalunya dalam tiga empat hari sekali kami akan lakukan bersama-sama. Akhirnya sebelum tidur, saya akan pastikan baju sekolah Sumayyah telah tersedia di atas katil.
Alhamdulillah. Walaupun baru dua bulan setengah mengharungi hidup di sini, tekanan bersama anak dan suami itu berada di kadar biasa. Kerjasama dan tolak ansur menjadi kunci. Semoga Allah sentiasa membantu kami membina hidup di sini sehingga berjaya mendapat kejayaan. Amin.
SALAM RAMADHAN 1440H
5 years ago
3 comments:
wah!!!!
slmt anak baru 3...=p
hua2....tu baru nama kehidupan...life is nothing without ujian..be tough bebe..
ssh skang,insyaAllah senang masa depan...
~mimi
Nice words my dear nieces.
Take care
Post a Comment