BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label Khaireen Sumayyah. Show all posts
Showing posts with label Khaireen Sumayyah. Show all posts

Monday, 2 February 2009

Puteri sulung, Khaireen Sumayyah

Diam tak diam, anak sulung saya dah masuk 6 tahun semalam, 1 Februari 2009. Cepat betul masa berlalu. Masih ingat lagi semasa saya disahkan mengandung 7 minggu oleh doktor. Excited nya bukan main. Sebulan sebelum itu saya gugur. Alhamdulillah lah kandungan kecil lagi masa tu, 7 minggu. Tidaklah depress sangat.

Mengandungkan Sumayyah memang mencabar. Pertamanya, tiada pengalaman mengandung. Keduanya, saya morning sickness sepanjang mengandung 9 bulan. Untuk tiga bulan pertama, memang saya melepek terutama bangun pagi. Saya perlu makan dulu baru boleh berus gigi. Kadang-kadang saya kunyah chewing gum sahaja. Di office, saya tak boleh buat kerja langsung. Kerjanya keluar masuk tandas untuk muntah. Alhamdulillah boss faham. Air putih lagi lah, tak boleh telan langsung. Mesti air berwarna.

Bila masuk bulan keempat, saya dah bertambah baik cuma masih muntah. Saya dah boleh mula makan. Keinginan nak makan memang tinggi. Bukan tinggi sahaja, meluap-luap rasanya. Tapi selepas dua tiga suap sahaja terus keluar balik. Tension betul. Suami saya pun tension juga sebab tak pasal-pasal dia turut terlibat. Setiap kali sebelum tidur malam, saya mesti suruh suami mandi dulu. Saya tak boleh bau dia. Kesian dia. Bau nasi yang tengah menggelegak pun saya tak boleh.

Tapi yang bestnya, saya suka shopping. Kadang-kadang saya belanja RM10 sahaja, tapi puas betul rasanya. Tempat wajib adalah Mid Valley. Suami pun pening melayan saya. Alhamdulillah masa tu kami menyewa di Bandar Sri Putra. Makanya tidak lah jauh sangat nak naik KL. Selain tu, saya suka buat dessert dan kuih muih. Masa bulan puasa, saya boleh buat biskut raya sebanyak 8 jenis seorang diri. Sampai satu tahap, saya pernah buang satu perempat adunan biskut makmur sebab dah tak larat sangat nak menghabiskannya.

Saya dijangkakan bersalin pada 15 Februari 2003. Tapi pada 1 Februari, tanda bersalin dah ada. Ketika azan subuh, saya terjaga dan kain saya basah. Alhamdulillah ketika itu di rumah mak. Mak suruh saya relax, bersiap dan minum pagi. Mak kata, selalunya ada masa 24 jam dari masa air ketuban tu keluar. Selepas memohon maaf dengan mak dan abah, kami ke hospital. Dalam jam 10 pagi, doktor periksa bukaan dan masih 2 cm. Air ketuban pun belum pecah lagi, mungkin bocor sahaja. Saya dimasukkan ke dalam wad dan nurse meletakkan satu alat di perut untuk mendapatkan kadar contraction. Dalam jam 12.30 tengahari, doktor panggil saya untuk diperiksa setelah melihat alat tersebut.

"Ok Puan, ready to deliver. Dah buka 6cm."

Terkejut juga saya dengar sebab saya tak rasa sakit langsung. Alhamdulillah saya sempat makan sedikit sebelum itu. Suami menyorong saya ke labour room. Seram sejuk tak dapat dibayangkan. Sambil memaut tangan suami, saya memohon maaf berkali-kali. Sampai di labour room, nurse menyuruh suami tunggu di luar dan akan dipanggil apabila saya betul-betul nak bersalin. Kebetulan waktu itu pula, setiap katil di labour room penuh berisi.

Ketika nurse sibuk menyiapkan katil, saya memohon untuk ke tandas kerana rasa seperti nak buang air besar.

"Buang air besar? Relax dik oi. Kojap yo kojap. Lopaih katil ni siap adik baring sini dulu. Bila raso tak tahan sangat panggil akak. Akak gi dopan jap. "

Dalam sepuluh minit lepas tu, memang betul rasa sakit seperti nak melepas. Saya panggil kakak tadi. Sekejap sahaja, dah ada dua doktor dan 3 nurse di sekeliling saya. Alhamdulillah tidak sampai lima minit meneran dengan bantuan mereka, baby yang dinanti lahir. Baby girl, 2.94 kg tepat jam 1.34 petang. Syukur segalanya berjalan lancar dan tiada masalah. Cumanya suami saya tak sempat dipanggil. Kasihan dia. Sebelum itu, dia gementar tapi tiba-tiba sahaja dia nak temankan saya bersalin. Tapi nampaknya hajat dia tak kesempaian.


Walaupun dah 6 tahun berlalu, saya masih boleh ingat semuanya dengan penuh terperinci. Patutlah mak saya juga begitu. Kalau dulu saya tak faham kenapa mak selalu bercerita. Sekarang saya faham kenapa. Semoga Khaireen Sumayyah menjadi anak solehah dan insan berguna apabila besar nanti. Amin.


Sunday, 1 February 2009

Healthy Lunch Pack

Cerita Sumayyah lagi.
Selesai sahaja meeting dengan supervisors pagi tu, saya meneruskan kerja di school. Bukan apa, kalau balik rumah alamatnya memang tak buat apa-apa la saya hari tu. Tiba-tiba Xperia saya bergetar. Ada call masuk maknanya.

"This is St Mathew's office. Regarding Khaireen."
"Is anything wrong about her?"

Bukan apa, semalam mereka call juga bertanyakan lunch bag Sumayyah. Mereka kata mereka tak jumpa. Saya terpaksa menerangkan bentuk beg plastik yang Sumayyah bawa pada hari itu dan meminta maaf memandangkan lunch bag Sumayyah sebenarnya tertinggal di sekolah pada hari sebelumnya. Maka jawabnya saya terpaksa menggunakan beg lain sebagai ganti.

"Oh no, she's doing well here. We are just wondering on meal for her lunch today."
Hari tu saya sediakan tiga potong kek, cookies, coklat dan yogurt drink. Ada masalah ke?

"Yes. In St. Mathew we are demanding on healthy lunch for children."
Dan akhirnya saya terpaksa mendengar short lecture berkenaan healthy meal. Sambil itu saya terfikir bagaimana mereka boleh tahu jenis makanan yang Sumayyah bawa dan sebelum tu pula mereka yang sibuk mencari beg bekalan Sumayyah. Sedangkan sekolah tu sudah tentu mempunyai murid yang ramai untuk dimonitor.

Balik dari sekolah, saya terus bertanya Sumayyah. Dia kata, semasa waktu makan mereka perlu beratur menuju dewan makan dan membasuh tangan. Kemudian terus ke meja makan yang telah terhidang bekalan yang Mama bagi.

Patutlah mereka tahu jenis bekalan yang dibawa oleh setiap murid. Mereka yang bertanggungjawab mengambil lunch bag itu dari kelas masing-masing dan menyusun bekalan tersebut.

Sejak hari itu, saya sangat berhati-hati menyediakan bekalan Sumayyah. Terima kasih juga buat Kak Hajah dari Brunei yang mengajar saya menyediakan healthy lunch pack. Yang penting mesti ada air (selalunya saya letak yogurt drink Tesco atau Munch Bunny Nestle. Alhamdulillah lah harganya murah), buah samada pisang atau anggur (itu sahaja buah yang Sumayyah suka makan selain durian), roti berinti coklat, butter sugar, tuna atau telur, dan tiga keping biskut atau Coco Pops Kellog's Bars. Kalau terlebih rajin, saya grill atau goreng fish fillet and chips.

Kalau di Malaysia la, agak-agak boleh ke saya sediakan makanan yang seperti itu? Atau dengan lain perkataan, saya ada masa ke untuk itu? Syukurlah Allah memberi saya peluang kali ini.

Tuesday, 30 December 2008

Tuhan dia putih...

Satu hari tu, sedang kami menonton TV, anak sulung saya berbunyi, "Ma, tadi mayyah nampak tuhan kristian." Glup. Tak tertelan rasanya air liur bila mendengar seorang kanak-kanak berumur 5 tahun bercakap macam tu. "Tuhan dia putih, ma."

Apa la tindakan kita kalau kejadian tu berlaku di Malaysia. Mungkin kita akan melenting dan meminta supaya jangan memikirkan perkara tersebut. Sedangkan sekarang di bumi orang yang nyata mempunyai aliran agama yang jauh menyimpang dari Islam. Saya jadi terkelu lantas meminta bantuan suami.

"Sumayyah nampak Tuhan dia macam mana?".

"Tuhan dia macam orang, macam kita lah tapi putih sangat."
"Mayyah masuk gereja ya tadi?"
"Ha lah pastu kena nyanyi"

Suami memandang saya sambil menggeleng. Saya terdiam lagi.

"Baba, Allah tu macam mana?" Masya Allah, seawal 5 tahun kami terpaksa dan nampaknya wajib menerangkan isu ketuhanan kepada anak.

"Sumayyah, Allah tu tiada tandingan. Maha Besar. Maha Berkuasa."
"Macam Power Rangers ya Ba," anak kami yang nombor dua, Abbas pulak menyampuk.
"Pun bukan. Dia lagi Besar. Bukan macam manusia, bukan macam Power Rangers. Sebabnya, Dia lah yang menjadikan kita semua, kucing, anjing, laut, semua lah. Kalau Allah macam kita, macam mana Allah nak jadikan manusia." Panjang lebar jugak suami saya bercerita. Entah faham entah tidak lah anak kami tu.

"Patutlah Allah duduk kat awan kan Baba sebab Allah tu besar. Kalau kecil macam mana Dia nak tengok kita semua kan." Tarik nafas lega saya. Sekurang-kurangnya dia faham walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

Sememangnya bersekolah di sini, hakikat mempelajari unsur-unsur ketuhanan Kristian terpaksa di terima. Di sekolah manapun, itulah yang budak-budak perlu belajar. Tahap permulaan adalah melalui lagu-lagu. Sampaikan Cikgu Sumayyah menulis nota kepada ibu bapa meminta anak masing-masing supaya lancarkan lagu-lagu tu. Sumayyah selalu juga menyanyikan lagu-lagu tersebut. Mula-mula tak terang sangat sebutan nyanyian tersebut. Tapi bila dah berulang kali, saya menangkap maksud lagu-lagu tersebut. Saya lantas meneliti bait-bait lagu mereka. Semuanya memuja baby jesus dan Bethleim. Saya terpaksa bertegas dengan Sumayyah.

"Lagu-lagu tu Sumayyah boleh nyanyi kat sekolah saja tau."
"Tapi Mayyah suka lagu baby jesus tu."
"Ingat, kita orang Islam. Lagu-lagu tu hanya untuk orang Kristian. Berdosa kalau orang Islam suka kat lagu tu."

Sejak dari tu, Sumayyah selalu bertanya pada saya lagu mana yang dia patut nyanyi. Ada la dua buah lagu dari sepuluh yang nampaknya tiada kaitan dengan ketuhanan. Ada juga suatu hari tu, Sumayyah menyanyikan lagu yang terkandung perkataan The Maker. Cepat-cepat saya bertanya, apa maksud The Maker? The Maker tu Allah lah, Sumayyah menjawab. Syukur Alhamdulillah. Anak saya telah mula mendalaminya.

Memang benar cakap beberapa senior. Selalunya kita akan merasai kepayahan di awal kehidupan dan persekolahan. Terpaksa menerangkan halal haram terutama mengenai makanan, mengenai ketuhanan, siapa Tuhan kita dan siapa tuhan kristian, mengenai bangsa dan bahasa. Hanya kita yang mampu membimbing mereka. Cuma perlu bersabar dan menerangkan yang nyata dan benar.

Anak adalah harta paling berharga. Walau setinggi mana ibu bapanya menuntut ilmu, jika terlalai dalam mendidik anak, tiada ertinya. Mereka amanah Allah.