Tengah leka kami berborak sakan, tiba-tiba telefon saya berbunyi menandakan ada sms masuk. "Khaireen is absent from St Matthews CE Primary School 08/12/08 AM. Please reply to why & date or call 01895442724." La, kami lupa beritahu sekolah yang Sumayyah tidak pergi sekolah hari ini sebab menyambut Aidil Adha. Cepat-cepat saya telefon pejabat sekolah Sumayyah untuk meminta maaf dan memaklumkan ketidakhadiran Sumayyah ke sekolah adalah kerana Aidil Adha. Mereka rupanya dah tahu bahawa hari tersebut adalah Aidil Adha cumanya mereka lebih senang jika ibu bapa murid memaklumkan kepada mereka.
Bila perkara ini berlaku, ada dua perkara yang terlintas di fikiran kami. Pertama, betapa menyibuknya Mat Saleh ini. Bukannya selalu Sumayyah tidak hadir ke sekolah. Inipun yang pertama kali. Kedua pula sebaliknya, bagus pula sekolah di sini. Mereka cepat mengesan murid yang tidak hadir dan dengan segera juga memaklumkan kepada ibu bapa. Saya ingatkan keadaan ini hanya berlaku di sekolah Sumayyah sahaja, maksudnya religious school. Tapi rupanya, di seluruh sekolah di UK begitulah konsepnya. Ibu bapa atau penjaga mesti dan wajib memaklumkan kepada sekolah jika anak tidak hadir ke sekolah. Pejabat sekolah mempunyai butir diri ibu bapa atau penjaga yang cukup terperinci terutama nombor telefon. Ini memudahkan pergerakan anak-anak dipantau terutama mereka yang gemar ponteng sekolah.
Pendekatan ini adalah satu sistem yang cukup menarik minat saya dan perlu dicontohi. Jika sistem ini diikuti oleh setiap sekolah di Malaysia, saya percaya masalah ponteng sekolah dan sekurang-kurangnya keruntuhan akhlak di kalangan remaja boleh berkurangan. Walaupun mungkin lambat untuk diatasi tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha.
Satu lagi yang saya nampak, pejabat sekolah mempunyai hak dan kedudukan yang sama taraf dengan guru. Setiap murid yang lambat harus mendaftarkan diri di pejabat sekolah dan menyatakan sebab musabab. Saya sempat melihat keadaan itu di mana beberapa orang murid beratur di hadapan kaunter pejabat untuk tujuan tersebut. Pejabat sekolah juga mempunyai ramai pekerja yang menjalankan tugas-tugas pentadbiran. Ini juga di antara sebab mengapa pihak sekolah mampu menjalankan tugas dengan baik.
Siapalah saya untuk membandingkan sistem persekolahan Malaysia dengan UK. Cuma, jika ada yang baik, tidak salah rasanya untuk diteladani.
Ya Allah, Engkau berkatilah anak-anak kami ini. Rahmatilah mereka yang masih kecil ini. Jadikan mereka anak-anak soleh dan solehah. Semoga mereka menjadi anak yang cerdik dan pandai. Ya Allah, hanya Engkau Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani. Amin Ya Rabbal Alamin.
1 comments:
mka teh doa la mimi jadik menteri pelajaran nnt..bley ubah pentadbiran skola satu mesia..heh~
Post a Comment